Wanita suka
lelaki yang bersih dan wangi. Maka soalan tentang perlukah kaum lelaki
melakukan grooming adalah sudah tidak relevan. Ia memang perlu. Sebagai lelaki
yang mahu sentiasa mendapat tempat di hati wanita, kebersihan dan kekemasan
perlu diambil kira. Jika anda ingin tahu rahsianya, ikuti tip ini. Wanita pasti
terpikat, atau paling tidak menoleh!
1. Trim bulu hidung
Perkara asas ini sering diabaikan oleh
kaum lelaki. Kadangkala sampaikan bulu hidung terkeluar pun tidak perasan. Hari
ini, sudah banyak syarikat kecantikan mengeluarkan peralatan berbentuk pengetip
pelbagai guna. Percayalah bahawa alat ini memang berguna tanpa ramai yang
menyedari. Buanglah bulu hidung yang sudah terjulur itu.
2. Kemas bulu kening berselerak
Bukan bertujuan untuk membentuk tetapi
mengemas bulu-bulu kening yang tumbuh berselerak. Mengamalkan menyikat bulu
kening setiap hari mampu membantu bulu kening kemas dan tersusun.
3. Bulu-bulu halus sekitar telinga dan
tengkuk
Jika anda mengunjungi kedai gunting
rambut atau salon, jangan lupa minta tukang gunting rambut membersihkan
bulu-bulu halus yang terdapat pada telinga dan tengkuk anda. Kita tidak mahu
kelihatan seperti beruang berbulu.
4. Potong kuku pendek dan bersih
Jangan biarkan kuku anda panjang dan
kotor kerana ia menampakkan personaliti anda. Sesekali tidak salah kunjungi
pusat penjagaan jari dan kuku untuk membantu kuku anda tumbuh dengan sihat dan
berkilat. Hanya mereka yang pakar merawat kuku rosak atau patah.
5. Berus dan flos gigi setiap hari
Tidak kisahlah jika anda mempunyai gigi
yang tidak rata dan kurang putih. Kebersihan gigi bukan sekadar memberus tetapi
perlu flos untuk menanggalkan plak-plak dan makanan yang melekat di celah gigi.
6. Pilih saiz pakaian sesuai
Keselesaan berpakaian perlu diambil
kira tetapi bukannya terus membiarkan anda memilih saiz pakaian yang besar dari
tubuh badan. Penampilan terbaik adalah memilih pakaian yang bersaiz tepat pada
tubuh badan. Segaklah sikit!
7. Berdiri tegak
Postur badan sangat penting untuk
menunjukkan personaliti diri. Berjalan dengan tegak membuatkan anda kelihatan
yakin dan gagah di hadapan wanita.
8. Basuh wajah setiap hari
Lebih baik mengaku jika anda tergolong
orang yang menggunakan sabun mandi untuk membasuh muka.Kebanyakan sabun badan
mempunyai bahan yang kuat untuk merosakkan kulit muka. Tentunya kulit muka
lebih sensitif daripada kulit badan. Memang tidak sesuai melainkan anda mahu
wajah berkerak.
9. Minyak wangi
Tidak mengapa jika anda bukan penggemar
minyak wangi. Sekurang-kurangnya, haruman perlu ada pada diri anda walaupun
sekadar deodoran, bedak, cologne mahupun losen.
10. Padanan tali pinggang dan kasut
Ramai yang kurang arif tentang hal yang
mudah ini. Dek masalah ini yang menyebabkan anda menjadi bahan bualan wanita.
Jika anda memakai kasut hitam, elak memakai tali pinggang coklat. Permainan
warna membantu anda menjadi lebih baik dalam berfesyen.
Kadangkala kita lupa akan perkara asas
seperti ini penting untuk penampilan dan kesihatan diri. Sudah memakai pakaian
mahal dan berjenama, jalan bergaya, duduk stail macho, tetapi nafas bukan main
berbau dan bulu hidung terkeluar berlumba-lumba. Kalau macam itu kesnya, memang
wanita akan menoleh tetapi kemudian akan cabut selaju-lajunya!